Pengalaman Bergelar Mahasiswa

Assalammualaikum.

Setelah sekian lama tidak ku kirimkan berita pada alam maya ini. Bukan tidak mahu menulis lagi tapi disebabkan masa aku banyak dihabiskan dengan persediaan menghadapi masa hadapan dan tidak lupa juga persiapan untuk bekalan di akhirat. 

Aku bukan lagi aku yang dulu. Umur sudah semakin meningkat, dan semestinya pengalaman pun semakin bertambah. Kalau sebelum ni aku kongsikan cerita aku ketika berada di sekolah asrama, sekarang ingin aku berkongsi tentang penglamanku sebagai penuntut di universiti. 

Seperti orang lain peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti semestinya menjadi impian. Segala usaha dan cabaran yang dilalui ketika di asrama dulu ternyata membuahkan hasil. Berita penerimaan ke universiti ternyata membuahkan senyuman di wajah orang tersayang. Tapi, tahukah aku ketika itu apa akan aku lalui di sana nanti? Masa depan siapa yang dapat meneka. Berita gembira dikongsi bersama sahabat tercinta dan seperti yang dijangka kami berkongsi berita yang sama. Tapi, tahukah kami ketika itu apa yang akan terjadi dengan persahabatan kami setelah masing-masing pergi menuntut ilmu di negeri orang? Masa depan siapa yang dapat meneka.

Hari pertama bergelar mahasiswa tidaklah berbeza seperti hari lain. Sebuah bilik bersegi empat dikongsi bersama 4 orang yang sama sekali tidak ku kenali. Bagi orang seperti aku yang membesar di asrama perubahan ini tidak memberi kesan apa-apa pada aku. Tapi mujur aku dapat mengenali seorang rakan yang bertutur loghat Kelantan. Ya, aku rindukan loghat itu. Kami menjadi rapat dan berkongsi cerita.

Sudah tiba masa untuk menghadap realiti. Aku di sini bukan untuk bersuka-suka tapi untuk menimba ilmu. Langkah kakiku berat menuju ke kelas. Berat dengan harapan kedua ibu bapa yang ingin melihat aku berjaya. Berat dengan harapan aku sendiri yang mengharap agar aku dapat membawa diri dan dapat mengekalkan prestasi cemerlang ketika dibangku sekolah. 

Suasana kelas yang mewah membuat aku bangga dengan gelaran mahasiswa. Aku mula mengenali rakan-rakan sekelasku hari demi hari. Tapi, tahukah aku ketika itu bagaimana sifat sebenar mereka? Adakah sifat yang ditunjukkan ketika hari pertama berkenalan adalah sifat sebenar mereka ataupun mereka hanya bertopeng? Masa depan siapa yang dapat meneka.

Proses pengenalan diri bermula. Kami memperkenalkan diri masing-masing di hadapan seorang pendidik yang akan mencurahkan ilmu kepada kami dan yang akan menanda kertas perjuangan kami.
Aku tiba-tiba teringat ketika hari pertama berada di sekolah menengah atas. Sesi perkenalan kami sungguh berbeza sekali dengan apa yang aku lalui ketika itu. 

Bermulalah perjuangan aku untuk menggenggam segulung kertas. Kertas bukan sebarang kertas. Kertas ajaib yang akan menentukan layanan yang akan aku terima oleh masyarakat kelak. Kertas yang akan menentukan kedudukan aku di mata masyarakat. Kertas ini juga akan menentukan baik buruk pandangan saudara mara terhadap keluargaku. Ah! Dunia kini lebih memandang tinggi pada sekeping kertas berbanding nilai kemanusiaan. Kalau tiada sekeping kertas itu, kau tidak boleh merasa hidup senang. Mentaliti. 

Inilah dunia yang sedang aku pijak sekarang. Mahu tak mahu, aku harus mengikut aturan yang ditetapkan oleh manusia lain. Aku mula mengorak langkah memulakan hidup sebagai seorang mahasiswa. Tapi, tahukah aku ketika itu belajar bukanlah perkara yang mudah? Tahukah aku bahawasanya zaman kegemilanganku dulu sudah lama berlalu? Masa depan tiada siapa dapat meneka.

Kini aku hampir berada di penghujung pejuanganku untuk langkah yang pertama. Untuk aku sampai ke tahap ini, pelbagai cabaran yang aku lalui. Kegagalan demi kegagalan aku lalui. Aku menyaksikan satu demi satu rakanku tersungkur di tengah jalan. Mereka tidak dpat menghabiskan perjuangan dunia ini. Semua ini menjadikan aku kuat. Aku tidak mahu jadi seperti mereka. Tidak dapat aku bayangkan senyuman yang terukir di bibir orang tersayang jika aku senasib seperti mereka. Hanya doa mampu aku kirimkan untuk mereka. Tabahlah wahai sahabat. Rezekimu mungkin bukan di sini.

Jika diizinkan Yang Maha Berkuasa aku dapat menghabiskan pelajaranku dengan sempurna dan jayanya, pasti senyuman terukir lagi di wajah-wajah yang aku sayang. Dapatlah aku mengorak langkah yang seterusnya sehingga aku mencapai matlamat hidup yang aku sendiri belum pasti di mana penghujungnya. 

Ya Allah, kuatkanlah aku untuk menempuh semua ini. Semoga engkau permudahkan segalanya bagiku dan kedua ibu-bapaku di dunia dan di akhirat. Aku bermohon padamu agar engkau menjadikan aku seorang anak yang berkemampuan untuk membalas jasa kedua ibu bapaku. Semoga engkau jadikan aku anak yang solehah dan sentiasa mendapat restu dan redha dari kedua ibu bapaku. Semoga engkau jauhkan kami dari musibah dan kegagalan di dunia dan akhirat. Amin.